Institusi Kebajikan Rumah Perlindungan (RP) ATIP
DEFINISI
Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 mendefinisikan perdagangan orang sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi.
Bagi pengertian eksploitasi pula Seksyen 2 telah mendefinisikan ia sebagai segala bentuk eksploitasi sama ada seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian atau aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia.
PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN
Bahagian Kanak-Kanak Memantau pengurusan dan program yang dilaksanakan di Rumah Perlindungan yang digazetkan sebagai tempat perlindungan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM Pindaan 2007) . Fungsi rumah perlindungan ini adalah untuk memberi perlindungan kepada mangsa pemerdagangan kanak-kanak dan penyeludupan migran dikalangan kanak-kanak. terdapat dua buah rumah perlindungan yang memberi perlindungan kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun iaitu Rumah Perlindungan Rembau Negeri Sembilan (untuk kanak-kanak perempuan) dan Rumah Perlindungan Bukit Senyum, Johor (untuk kanak-kanak lelaki).
Perkhidmatan Yang Disediakan di Rumah Perlindungan adalah seperti berikut:
Perlindungan
Makanan
Kemudahan Perubatan
Pembelajaran
Latihan Dan Kemahiran Vokasional
Kaunseling
Rekreasi
TATACARA PERLINDUNGAN
Pegawai penguatkuasa (Imigresen, Polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Jabatan Tenaga Kerja membawa kes-kes yang disyaki kepada mahkamah. jika dikenalpasti sebagai kes-kes di bawah ATIP SOM mereka akan diberikan perintah perlindungan interim oleh mahkamah
sekiranya disahkan oleh mahkamah sebagai kes yang memerlukan perlindungan di bawah ATIP SOM, mangsa akan diberi perlindungan interim selama 14 hari untuk siasatan lanjut.
selepas 14 hari mangsa akan dibawa semula ke mahkamah untuk mendapat perintah perlindungan sehingga 3 bulan atau sehingga siasatan selesai
Institusi Kebajikan Asrama Akhlak
PENGENALAN
Asrama Akhlak adalah institusi yang ditubuhkan atau ditetapkan sebagai tempat tinggal bagi kanak-kanak yang dikehendaki tinggal di situ yang ditubuhkan di bawah seksyen 61 (Asrama Akhlak) Akta Kanak-Kanak 2001.
OBJEKTIF
Memberi pemulihan kepada kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah (Perintah Percubaan) dan tidak terkawal; dan
Mendidik kanak-kanak membina sikap positif, membentuk peribadi yang kukuh dan melengkapkan diri dengan ketrampilan bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat
KATEGORI KANAK-KANAK
Permintaan bertulis ibu atau bapa atau penjaga kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak supaya menahan anaknya ke Asrama Akhlak,
Berusia sepuluh tahun ke atas,
Didapati bersalah atas apa-apa kesalahan selain jenayah berat, menyebabkan cedera parah, merogol, melakukan sumbang mahram atau mencabul kehormatan, kesalahan di bawah seksyen 377B, 377C, 377D, 377E Kanun Keseksaan, dan
Dikehendaki untuk tinggal di Asrama Akhlak.
KEMASUKAN
Melalui perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di bawah Perenggan 91(1)(e) (perintah percubaan) atau Seksyen 46 (kanak-kanak tidak terkawal) Akta Kanak-Kanak 2001.
TEMPOH PEMULIHAN
Selama tempoh yang dinyatakan oleh mahkamah.
Institusi Kebajikan Sekolah Tunas Bakti
PENGENALAN
Sekolah Tunas Bakti adalah institusi Sekolah Diluluskan bagi pendidikan, latihan dan penahanan kanak-kanak yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 65 (sekolah diluluskan) Akta Kanak-Kanak 2001
OBJEKTIF
Memberi pemulihan kepada kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah
Mendidik kanak-kanak membina sikap positif, membentuk peribadi yang kukuh dan melengkapkan diri dengan ketrampilan bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat
KATEGORI KANAK-KANAK
Berusia sepuluh tahun ke atas,
Didapati bersalah atas apa-apa kesalahan,
Memerlukan pemulihan keinstitusian, dan
Kesalahan yang dilakukan tidak daripada jenis yang serius tetapi suai manfaat ditahan selama apa-apa tempoh dan diletakkan di bawah apa-apa ajaran dan tatatertib yang didapati paling berfaedah untuk memulihkan akhlak.
KEMASUKAN
Perintah Mahkamah di bawah Perenggan 91(1)(f) (dihantar ke sekolah diluluskan atau Sekolah Henry Gurney) AKK 2001
TEMPOH PEMULIHAN
Selama tiga tahun tetapi boleh dibebaskan sebelum tamat tempoh dengan kelulusan Kuasa Menteri atau Lembaga Pelawat.
Institusi Kebajikan Taman Seri Puteri
PENGENALAN
Taman Seri Puteri adalah institusi Tempat Perlindungan bagi pemeliharaan dan pemulihan kanak-kanak yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah seksyen 55 (tempat perlindungan) Akta Kanak-Kanak 2001.
OBJEKTIF
Memberi perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya moral atau keruntuhan akhlak dengan memupuk sikap dan nilai yang sesuai dengan norma masyarakat serta memberikan kemahiran yang bersesuaian.
KATEGORI KANAK-KANAK
Permintaan bertulis ibu atau bapa atau penjaga kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak supaya menahan anaknya ke Tempat Perlindungan;
Didorong melakukan perbuatan seksual, berada dalam suasana fizikal/sosial yang membawa kepada perbuatan seksual;
Tinggal atau mengunjungi mana-mana rumah pelacuran atau tempat berkira;
Bersama-sama atau berada di bawah kawalan muncikari atau orang yang bekerja atau berkepentingan dalam urusan di rumah pelacuran atau berkaitan dengan pelacuran;
Permohonan kanak-kanak itu sendiri kerana memerlukan perlindungan segera;
Diancam atau ditakut-takutkan bagi maksud pelacuran/ bersetubuh dengan seseorang/ bagi apa-apa maksud lucah;
Dikurung atau ditahan oleh seseorang lain;
Berkemungkinan atau sedang dilakukan ke atas kanak-kanak seperti maksud di atas; atau
Hamil anak luar nikah
KEMASUKAN
Melalui perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di bawah Perenggan 40(1)(e) (tempat perlindungan selama tempoh 3 tahun) atau memohon sendiri di bawah Subseksyen 41(1) (memerlukan pelindungan segera – atas permohonan kanak-kanak/ibu/bapa/penjaga) Akta Kanak-Kanak 2001.
TEMPOH PERLINDUNGAN DAN PEMULIHAN
Selama tempoh tiga tahun tetapi boleh dibebaskan sebelum tamat tempoh dengan Kuasa Menteri atau kelulusan Lembaga Pelawat atau dengan meminda, mengubah atau membatal perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.



